Masih Menanti..

Saturday, February 27, 2010
Seminggu lagi InsyaAllah.. keterujaan, kegembiraan, ketidaksabaran, kerisauan semuanya bercampur baur, dah jadi adunan apa dah dalam hati ni.

Ya Allah rungkailah semuanya agar yang tinggal hanya ketenangan...

Pergi Lagi..

Wednesday, February 24, 2010
Hari ni saya kehilangan seorang lagi sahabat sepejabat, Khairul Zafrie bin Noordin atau lebih mesra dengan panggilan Mok, telah pergi menemui Ilahi semalam. Al-Fatihah untuk arwah.

Semangat saya untuk bekerja pagi tadi seolah pergi sekali bersama Mok. Sungguh saya tiada semangat, design document yang perlu disiapkan terpampang lama di skrin komputer cap hp. Saya biarkan je skrin tu sambil fikiran saya menerawang teringatkan Mok.

Saya kenal Mok sejak saya balik dari Subang kira-kira 3 bulan yang lalu. Dia selalu datang ke opis pertama saya yang terletak di tingkat 2. Opisnya di tingkat 1. Disebabkan dia tiada 'access' untuk masuk ke opis saya, maka sayalah yang selalu jadi tukang buka pintu untuk dia. Lagipun 'cubicle' saya terletak berhampiran dengan pintu.

Pernah satu hari saya ke pantry. Bila saya keluar dari pantry, saya nampak Mok mundar-mandir di luar opis sebab tak dapat nak masuk. Bilamana dia nampak saya, dia senyum. Lega gamaknya tukang buka pintu untuk dia dah datang(-_-').

Itu kenangan saya bersama Mok. Saya takde la kenal Mok rapat memandangkan kami dari business unit yang berlainan, tapi pemergian arwah agak terkesan di hati saya. Entah la.

Lepaskanlah..

Tuesday, February 23, 2010
Bersama malam..
Mengintai bintang..
Hadirkan ketenangan..

Cubalah

Bahagia Seadanya..

Monday, February 22, 2010
Hari ni Nisah bawa kek lobak ke pejabat. Kek lobak merah bertatah keju. Sedappp sangat sampai saya boleh telan 4 ketul! Owhh banyak betul saya makan. Bukan hari ni saja, tapi saya perasan sejak dua menjak yang lalu saya makan agak banyak! Patut la balik kampung baru ni mak tegur saya dah semakin berisi.Bangga sat. ^_^

Lega juga sebenarnya bila mak tegur berisi tu, takde la seperti balik kampung sebelum-sebelum ni, orang kampung mesti komen saya ni melidi la, cekeding la, kurus sangat la. Sampaikan tok saya siap belek-belek lagi lengan saya, kurus sangat dia kata, nampak tulang!!! Owhh

"Keje sampai tak sempat makan ke?" Ke situ pulak tok saya boleh tanya. Padahal kat sini saya makan cukup je. Lapar, makan. Sebelum kenyang saya berhenti.

Rimas jugak saya bila orang kata saya ni kurus sangat. Padahal saya tengok diri saya kat dalam cermin, pipi maintain tembam. Body pun sama,erkk. Tangan saya dua ketul ni, tak nampak pun tulang. hehe. Tok saya tengok tulang lain kut!...heh

Bukannya apa, kalau nampak kurus sangat, orang tua kata makan tak sampai. Ada yang kata hidup tak bahagia la, jiwa selalu merana la. Berbeza dengan orang yang tak kurus sangat maksud saya orang yang berisi, nampak bahagia kan? Nampak cukup je makan. Tu pandangan orang la.

Bagi saya,kurus ke gemuk ke, sederhana kurus dan sederhana gemuk ke, tak kisah la, bukannya semua tu boleh jadi ukuran kebahagiaan. Asal hati gumbira dan baik-baik selalu, alhamdulillah..Tapi mana orang boleh nampak kan hati kita ni gumbira ke merana ke.

Hati, kau gumbira kan kat dalam sana?erkk...

Menerobos Kabus Kelemahan..

Sunday, February 21, 2010
Selamat menghirup udara malam semua. Malam ni mata ini agak sukar dipejam. Tidak seperti malam-malam sebelumnya. Kebiasaannya pada saat dan ketika ini, saya sudah selamat belayar di lautan mimpi sambil meneropong bintang-bintang yang indah di langit yang kelam, akan tetapi hal itu tidak berlaku malam ni.

Saya perlu buat sesuatu!

PS: Wajalah hati!


Cucu Pertama,Bukan Anak Saya...

Friday, February 19, 2010
Senyum itu wajib ada dalam diari kehidupan saya pada setiap hari terutama sebaik saja bangun pagi. Alhamdulillah saya dah berjaya amalkan, bukan sehari dua ni, tapi sejak beberapa purnama yang lalu. Satu senaman pipi yang bagus sambil disertai dengan lafaz syukur atas nikmat hidup yang Dia masih kurniakan selepas dibangkitkan dari 'mati' yang sementara.

Bila mengenangkan diri yang bakal jadi makcik tidak lama lagi dan teringatkan anak menakan yang bakal lahir, tiba-tiba saya teringatkan cerita Muni, kisah seorang hambaAllah yang mahu menghantar anaknya untuk dididik oleh Imam Shafie. Bila ditanya berapakah umur anaknya itu, hambaAllah itu menjawab 2 tahun. Nak tahu apa Imam Shafie kata?

"Sudah terlalu lambat jika kamu menghantar anakmu yang berusia 2 tahun ni untuk aku didik", lebih kurang macam tu la jawab Imam Shafie.

Moral of the story?

Moral of the story yang saya dapat dari cerita Muni, nak didik anak, bukannya bermula sejurus anak dilahirkan ataupun dari dalam alam rahim itu sebenarnya, tapi dari bakal ibu dan bapa itu sendiri. Sebelum mulanya alam perkahwinan.WaAllahualam.

Semoga anak saudara saya yang bakal lahir nanti menjadi insan yang soleh/solehah dan sentiasa berbakti kepada agama,orang tuanya dan menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Cucu pertama mak dan ayah, pastilah kami teruja!

PS: Linux..apa khabar Linux sekarang.

Rindu Dia..

Wednesday, February 17, 2010
'Time' saya bersalaman dan berpeluk cium dengan ahli keluarga sebelum berangkat pulang ke bandar semalam, mak dan tok mengalirkan air mata. Ayah sekadar me'merah'kan matanya. Saya rasa macam nak pergi berperang pun ada. Tapi itulah hakikat dan itulah yang berlaku bila tiba saat untuk saya berpisah dengan orang-orang yang saya sayang.

Saya? Jangan tanya apa yang terjadi kepada saya sebab saya malu nak cerita. Nanti orang kata saya manja, macam budak-budak. Hati saya memang dari dulu tidak tabah. Perpisahan sementara begini pun hati saya sudah tidak tabah, kalau perpisahan yang kekal nanti....

Teringat masa pemergian arwah tokki kira-kira 6 tahun yang lepas. Walaupun saya tidak berapa rapat dengan tokki berbanding dengan adik-beradik saya yang lain, tapi dalam diam, saya rasa sangat sedih. Sedih kerana tidak dapat menatap wajah dia lagi. Sedih kerana tidak dapat mencium tangannya yang kasar itu lagi. Hinggakan saat ini pun, saya terasa sangat rindu nak jumpa dia. Nak cium tangan dia.

Adik saya Hafizah pergi menghadap Ilahi selepas 24 jam menikmati alam dunia dan selepas 9 bulan lebih berada dalam perut mak. Hafizah pergi tanpa saya sedar, ayah dan mak tidak mengkhabarkan kepada saya yang adik sudah 'pergi' lebih awal. Waktu tu saya darjah 3, terlalu kepingin mahukan adik kecil.

Bila ayah cakap, ayah mahu pergi hospital, mahu bawa adik pulang, saya dan 2 orang lagi adik yang lain melonjak kegembiraan. Kami semua tidak sabar untuk bermain dengan adik baru. Akan tetapi keterujaan kami berhenti tiba-tiba. Kami semua kelu tidak terkata tatkala melihat ayah balik sambil mengendong sesuatu berbalut kain putih. Adik!!!

Sejak dua menjak ni, rindu saya pada mereka-mereka yang telah 'pergi' seakan menebal. Sungguh-sungguh rindu pada mereka.

Ya Allah, kekuatan...kekuatan ya Allah!

PS: Saya?

Mencari Jiwa Yang Pergi..

Monday, February 15, 2010
Aku bakal menjadi mak cik!! Alhamdulillah...Nak suruh dia panggil aku apa eh nanti?..Mak Long? Mak Long Nor? Makcik Nor? Owhh tuaaaanya panggilan...hehe.Panggilan je tua, orangnya masih maintain muda..erkk perasan!!!..

Besok dah nak kene balik bandar. Rasa macam tak puas lagi berada kat kampung...alahaii. Nak tak nak pun, memang kene balik. Ini jalan yang aku pilih dulu, untuk bekerja di luar kampung. Seharusnya tiada rasa kesal atau merungut atas kejauhan aku dari kampung tercinta.

Bila diingat balik coretan yang terdapat dalam buku 'Bila Allah Menduga Kita', penulis ada menekankan bahawa,sebagai manusia, kita tidak seharusnya menggunakan perkataan kalau atau seandainya atau apa jua perkataan yang mempunyai makna yang sama dengan 'kalau' atau 'seandainya', kerana seolah-olah menggambarkan kita punyai alternatif lain yang lebih bagus membatasi ketetapan yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Rupanya dalam tak sedar dan tidak tahu, banyak betul silap aku dulu. Suka benar 'berkalau-kalau'... kalau itu la..kalau ini la..kalau dapat bekerja kat kampung la... Ya Allah ampunkan dosa-dosa hambaMu yang jahil ini.

PS: Mencari..

Kematian Yang Dekat...

Thursday, February 11, 2010
Sepi pagi berjaya membenam semua rasa yang berselirat dalam jiwa. Rasa-rasa biasa dan rasa-rasa luar biasa semuanya terbenam jauh ke dalam...dalam mana entah tidak dapat dipastikan. Yang pasti sangat dalam..

Sejak berpindah ke bangunan baru ni, jarang sekali kami keluar kalau lunch time. Memang setia bertapa dalam opis yang separa beku ni. Biasanya, biskut, roti atau apa saja bekal di waktu pagi akan menjadi santapan tengah hari kami. Tapi kalau dah tahap nak telan nasi sangat-sangat tu, kami akan berkunjung juga ke terminal atau cafe di MMU Cyberjaya.

Bukannya kat dalam kawasan ni tiada cafe, cafe di sebelah bangunan kami ni je. Cuma...bilamana kami dapati tukang masaknya bukan islam. Hati kami menjadi tawar untuk berkunjung ke situ. Ingin sekali kami memberitahu pihak atasan, tapi sampai sekarang...kami masih menyepi. Itu kisah kami.

Kisah aku pula, tengah tangan aku ligat mengacau milo panas di dalam bilik yang separa beku untuk dibuat minuman tengah hari, Amira Alim datang membawa berita yang agak mengejutkan aku.

Victor Chan (ELTP 15), rakan opis aku meninggal dunia pagi tadi. Sesak nafas. Walaupun bukan satu projek, kami memang kawan sejak masuk company ni. Satu batch!

Lepas ni takde dah la "Hi Victor" atau "Morning Victor" yang macam biasa aku lakukan kalau terserempak dengan dia kat pantry.

Daripada Allah kita datang, dan kepada Dia juga kita akan pergi.

Masa kita nanti, akan tiba jua sama ada kita bersedia atau tidak.....

MB Di Hati Mahkamah, Bukan Di Hati Rakyat..

Tuesday, February 09, 2010
Mahkamah persekutuan pagi tadi mengishtiharkan MB perak adalah zamry.

Sekian.

PS: Sapa tau bus apa yang cross the ocean?

Syaitan Tak Masuk Rumah Kami..

Monday, February 08, 2010
Tengah sembang-sembang di tengah rumah dengan teman serumah Sal dan Muni sambil Mekdi melayan citer Merlin semalam. Aku sempat berjenaka dengan Sal.

"Sal, tau tak rumah kita ni syaitan tak masuk dah", aku.

"Haa? Kenapa? Sebab selalu baca Quran?", soal Sal.

"Tak", jawab aku pendek.

"Habis tu sebab apa?" soal Sal ingin tahu.

"Sebab ada tv. Dah boleh ganti tugas syaitan", aku.

Sal ketawa. Aku sengih. Muni senyum.

Cerita pasal syaitan tak masuk rumah ni Muni yang ceritakan pada aku waktu kami pulang dari tempat kerja tempoh hari. Entah kenapa tiba-tiba aku terfikir untuk me’relate’kan kepada situasi rumah kitaorang yang waktu tu tv sedang rancak terpasang.

Begini ceritanya. Ada seekor syaitan, dia ingin menggoda manusia supaya mengikutnya. Tatkala sampai di pintu rumah seorang manusia ni, dia tak jadi masuk. Tanya sahabatnya yang juga seekor syaitan.

"Kenapa kau tak jadi masuk rumah manusia tu?"

"Takpe la, rasanya aku tak perlu masuk dah rumah tu. Sebab dah ada tv, dah boleh ganti tugas aku".

Renungkan, ada betulnya juga kisah perbualan syaitan di atas. Disebabkan tv kita jadi lambat untuk solat. Mesti nak habiskan dulu rancangan yang kita tengok tu baru kita nak solat. Kalau tak, nanti pasti terlepas cerita la. Tak tahu kisah la. Macam-macam lagi la alasan untuk menjadikan kita terlambat untuk solat.

Tak rugi pun kan kalau tinggalkan sekejap tv tu dan pergi solat yang tak sampai 10 minit. Kalau tv kita boleh menghadap selama berjam-jam,kenapa solat yang tak sampai 10 minit tu kita masih boleh bertangguh. Allah dan tv...mana keutamaan hidup kita?

Peringatan untuk diri sendiri juga, walaupun aku bukan kaki tv, tapi aku kaki lappy. Lappy dan tv tak banyak bezanya pun.

Tu baru kisah menjadikan manusia lambat solat. Kisah keburukan lain…pasti banyak kalau kita fikir-fikir. MasyaAllah..

Agak-agaknya la kan, syaitan zaman IT mesti jawab, tak jadi masuk rumah sebab manusia-manusia tu dah dilalaikan dengan blog, facebook, forum, youtube, ym, bla bla bla..erkk

PS: Dah dah, tak payah komen lagi. Pi la solat dulu kalau tak solat lagi. Lepas solat nanti baru komen eh;)

Till then..

Lagi Sebulan..

Saturday, February 06, 2010
Lagi sebulan apa?

Tunggu la, nanti akan dikhabarkan. Teruja sangat ni..

Betul la kan kata orang, bila kita duk nanti-nanti akan sesuatu, terasa masa berjalan macam siput..alahaiii... Tapi bila tiada apa yang dinanti..berdesupp dia berlari. Sampai tak terkejar kita dibuatnya kan?

Sebulan...boleh ke suruh kau berlari cepat sikit?erkk

Tukang Masak!??..

Friday, February 05, 2010
Balik dari kerja petang semalam, seorang teman baik yang bekerja di Terengganu sms. Suruh dibuka laman sesawang kerajaan Negeri Terengganu, katanya ada beberapa kekosongan jawatan. Aku teruja. Segera aku on lappy. Tapi hampa, laman sesawang yang dikatakan itu hanya memaparkan skrin putih, kosong. Aku kecewa.

Sudah bertahun-tahun aku berusaha mencari kerja di tempat kelahiran sendiri, apply sana sini. Namun bukan rezeki aku di sana lagi agaknya buat masa sekarang. Tambah pula dengan bidang yang aku ceburi ni, sedikit sebanyak agak menyukarkan. Tertanya-tanya gak aku, bila la gamaknya kat Terengganu tu nak buat satu bandar sebijik macam Cyberjaya ni? eerkk... (PS: Dato Mat said, ada dalam plan kerajaan negeri dak?)

Bukanlah aku tidak suka bekerja di pinggir kota ni, tapi entah la... perasaan untuk bekerja di kampung tu lagi terpahat di jiwa. Aku tak kisah, kalau orang kata bekerja di kampung itu tidak glamour. Tiada cabaran. Tiada persaingan. Tapi kalau dah kerja halal... apa salahnya kan?

Aku selalu pujuk diri sendiri, ada la tu rezeki aku untuk bekerja di sana nanti. Hakikatnya aku masih di sini. Nampaknya kene berusaha lebih lagi, ayuhh Fida!

Nak jadi tukang masak je la, aci?erkk

PS: Fida, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Titik.

Suka Tak Semestinya Cinta.. Kan?

Wednesday, February 03, 2010
Meskipun hanya rasa suka,
bukan sesuatu yang mudah untuk aku lawan.
Sungguh!!

Bicara Hati Di Petang Hari..

Tuesday, February 02, 2010
Petang ni langit begitu gelap. Guruh pun sudah mula berdentum dengan lembutnya. Bila-bila masa saja Dia akan menurunkan hujan. Aku mengharapkan hujan rahmat dariNya.

Aku sukakan hujan. Suka termenung dalam hujan. Suka mengelamun di tepi tingkap sambil menikmati hujan. Entah mengapa bagi aku hujan itu mendamaikan. Hujan itu membahagiakan. Hujan itu bisa menyejukkan jiwa yang kepanasan dan kegelisahan.

Tapi, hujan masih tidak turun-turun. Hati aku begitu gelisah..

Aku tertanya-tanya.... bagaimanakah caranya untuk aku keluar dari kepompong dosa yang membelenggu diri ini? Tabahkah aku? Bisakah aku?

Tiada lain yang aku pinta melainkan keredhaan dan rahmat dariNya untuk aku dan untuk semua orang yang aku sayang... ayah ibuku, adik-adikku, sanak saudaraku, sahabat-sahabatku, dan semua yang ada di sekelilingku...

Ya Allah, tunjukkan aku jalan keluar...

Rembat..

Monday, February 01, 2010

"Kadang kala penafian itu perlu, bila hati condong pada sesuatu yang bukan milik kita. Pedih, tapi pasti ada hikmahnya",

Mana entah aku rembat kata-kata ni, main rembat je..hoho. Dalam dunia ni banyak benda yang kita nak. Tapi ada antaranya yang kita tak dapat. Banyak juga benda yang kita tak mahu, tapi kita dapat. Kan? Kenapa? Sebab Allah Maha Mengetahui.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal dia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui" [Al-Baqarah:216]

Till then...

PS: Macam tak kene dengan jiwa pulak rasanya template ni...ermm..

 

Browse