"Syifa, akak tanya satu soalan boleh?"
"Apa dia kak?
"Syifa, dah ada calon suami?", Kak Ina.
"Kenapa Kak Ina tiba-tiba tanya pasal calon suami ni, Kak Ina ada calon untuk Syifa ke?", bulat mata Syifa menanti jawapan Kak Ina
"Kalau Kak Ina cakap, Kak Ina ada... Syifa sanggup setuju dengan pilihan Kak Ina?"
Panjang Syifa berfikir, sejak mengenali Kak Ina, tidak pernah Kak Ina bercakap sebegini serius dengannya. Lebih-lebih lagi bila melibatkan soal kahwin. Syifa mengenali Kak Ina di salah sebuah majlis alumni anjuran Universiti Islam Antarabangsa pada tahun lepas . Rupanya suami Kak Ina senior dan satu kuliyyah dengan Syifa. Tapi, Syifa tidak perasan pun sewaktu belajar dulu.
Dia ditemukan lagi ketika jamuan hari raya di Taman Perumahan Saujana. Kak Ina dan suami membeli rumah di situ rupanya. Syifa pula baru menyewa di perumahan tu setelah berpindah tempat kerja.
"Allah Kak, siapa pulak la yang akak nak kenalkan kat saya ni, lagi pun kak, sapa la yang hendak kat saya ni. Dah la tak lawa macam Natalie Portman, he he"
"Tak baik Syifa cakap macam tu. Jodoh ni, Allah dah tetapkan. Cuma tunggu masa je, tunggu usaha!", Kak Ina tegas.
"Akak nak kenalkan Syifa dengan Abang Solehudin", Kak Ina, tiba-tiba menyambung ketegasan.
"Abang Solehudin mana pula ni kak?"
"Suami akak. Akak serius ni Syifa. Tolong akak..."
"Allah.... dugaan apa yang Kau timpakan ni"
Dia meraup mukanya dalam kegelapan. Peristiwa petang tadi benar-benar menghumban dia ke dalam kegelisahan. Bayu kuat masih lagi menemani ingatannya terhadap peristiwa petang hari.
Kenapa Kak Ina boleh terfikir untuk menjodohkan suami sendiri, sampai sanggup hendak bermadu dengannya. Allah...mati hidup balik pun dia rasa dia tak sanggup nak bermadu, lebih-lebih lagi dengan Kak Ina. Bukan dia tak bersetuju dengan poligami, dia menyokong poligami yang membantu janda-janda yang kesusahan, dan perempuan yang memerlukan pertolongan. Malah dia suka tengok wanita-wanita terpelihara elok asbab poligami. Tapi kalau boleh, biarlah bukan dia yang terlibat dengannya. Bukan dia yang menjadi sebahagian unit poligami itu. Apatah lagi hendak berkongsi kasih suami dengan Kak Ina. Dia tak sanggup. Sungguh.
Deras ditoleh ke arah jam mejanya. Sudah pukul 3 pagi. Bermakna sudah hampir 5 jam juga dia disambut lena. Gelap malam diluar dikerling sekilas sebelum ditutup bingkai tingkap. Irama bayu yang kuat kini terhenti di luar. Irama di dalam, irama sunyi sepi. Yang ada hanya irama derap kakinya yang mula melangkah. Melangkah bagi menyuci diri untuk menghadap ilahi. Teringat pesan bonda tercinta. Apa pun masalah yang singgah dalam hidup, solat lah minta petunjuk Tuhan. Solatlah untuk bina benteng kekuatan. Solatlah agar ketenangan sentiasa menjadi teman. Solatlah...solatlah.
Dia nekad untuk mengadu segala resah kepada Yang Maha Pemberi Mudah. Akan diluahkan gelisah di hati buat yang Maha Mengerti. Resah setelah dikhitbah, gelisah usai mengetahui isi hati seorang isteri.
Dalam kelam malam yang berangin kuat diluar dan tenang di dalam, dihampar sejadah hijau tuanya menghadap kiblat yang satu. Telekung solat yang putih suci dipakai lagi waktu dinihari. Dua tali disimpul kemas mengikat kepalanya yang kecil. Dengan ombakan yang dilepaskan di dada, dia memulakan.
"Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang"....
PS: Agak-agak, boleh masuk pertandingan menulis cerpen dak kalau buat permulaan cerita lagu ni? errr....