Menantu Perempuan...

Sunday, June 27, 2010
Tak sangka, ada juga insan yang berminat untuk mengetahui kisah hidup kami yang bekerja sebagai IT professional wanita dan bujang ni. Opsss, bukan professional pun, tapi kuli je. Sebenarnya tiada apa yang menarik pun untuk diceritakan. Kisah hidup kami kisah biasa. Seperti juga kisah hidup mereka-mereka, wanita-wanita bujang lain yang bekerja di sektor lain, dan kalau aku cerita kisah hidup kami...mesti sapa-sapa yang baca tu bosan. Aku rasa la..

Cuma satu yang aku pasti, makcik-makcik kalau nak cari menantu perempuan... takkan cari anak dara yang berkecimpung dalam bidang IT, err maksud aku.. makcik tu takkan buat statement macam ni;

"Limah, kau risik seorang anak dara untuk anak teruna aku Nizam tu. Tapi yang kerja software engineer tau. Kerja lain aku tak nak".

Haaa..mesti tak pernah dengar kan. Yang biasa dengar, syarat menantu perempuan tu mesti kerja cikgu, paling koman pun nurse, tak pun yang kerja kerajaan...betui dak?

Ni bagi mak-mak yang nak carikan menantu untuk anak lelaki mereka la. Bagi mak-mak yang tak cari tu..tak cari la.

Ahh, rahsia jodoh... itu urusan Dia...

PS: German vs England, bai..

Bukan Kedekut...

Thursday, June 24, 2010
Dulu-dulu aku pernah cerita kut, yang aku ni bukan kedekut, bukan juga bakhil, bukan juga beralus. Tapi, selagi barang-barang yang aku punya tidak rosak, tidak rabak, tidak bernafas...selagi tu la aku takkan tukar baru.

Handbag contohnya. Selagi yang satu ni tak rabak, tak koyak. Selagi tu la aku akan pakai, sehinggalah dia dah koyak...rabak, baru aku akan beli baru. Sandal cap boya ni pun sama. Aku beli sandal ni tahun lepas, Alhamdulillah sampai sekarang sandal ni elok lagi. Sandal ni la yang aku pakai pi mana-mana. Even pi opis pun. And yes, aku ada satu ni je sandal. Bukan aku tak nak beli baru. Boleh je aku nak beli. Tapi aku dah tau dah, aku ni jenis yang setia pada satu benda je. Kalau aku ada 2,3 sandal atau handbag, buat apa? Nanti aku pakai satu yang aku berkenan tu je. Tak ke membazir.

Aku ni simple kan?erkk..

Dan aku ada sebiji telefon. Telefon lama. Klasik orang kata. Orang zaman sekarang dah tak pandang dah telefon yang aku pakai ni. Nak ambil gambar pun antara nampak tak nampak je gambar tu. Tiap kali balik kampung, Ayah Su aku pasti dan wajib kutuk telefon aku yang satu ni, "Drive Incik Hitam tapi guna telefon zaman kuno, buat malu kalau orang tengok!" Kata Ayah Su menyindir..hehe. Adik-adik aku pun pakai telefon lagi canggih dari kakak dia ni. Tapi takpe, aku tak kisah pun semua tu.

Anyhoo...itu lah aku, selagi boleh diguna untuk telefon dan sms...selagi telefon tu belum dikafankan. Aku akan guna biar tak canggih mana pun... opss tunggu. Aku bukan kedekut nak beli telefon baru tau...tapi....sayang woooo...telefon ni nanti nak campak mana? Lagipun elok lagi. Membazir je kan kalau aku beli telefon baru? erkk.

Sehinggalah 2,3 minggu akhir-akhir ni, telefon aku ni dah mula menunjukkan tahap keuzuran,kesakitan dan petanda bahawa dia takkan hidup lama. Ada problem dengan bateri, tak tahan lama. Aku pula, punya la malas nak ke kedai telefon tukar bateri. Bertahan dengan charger je. Isk Fida Anuar ni memang begini, abaikan kemalasan dia yang entah apa-apa itu.

Sehinggalah pada satu petang...hantar adik aku yang baru masuk Matrik UIA tu ke Nilai selepas 2 hari dia bermalam di rumah aku di Putrajaya. Sejurus peluk cium, dia kasi aku satu telefon beserta charger. "Gunalah", terus dia berlalu tinggalkan aku terpinga-pinga dengan telefon di tangan. Telefon baru! Aku assume dia kasi pinjam.

Semalam, bila telefon mak, barulah terbocor satu rahsia agung. Aduhh menitik air mata aku bila dapat tahu....kesian jugak eh adik aku kat aku; kakak yang tak kedekut tapi baik hati ni, erkk....rupanya mak aku cerita, adik aku yang belajar kat Nilai tu sengaja belikan aku telefon baru tu sebab dia kata kesian tengok aku, tiap kali ada orang telefon, putus. Cakap tak sampai 2 minit, putus... pastu kalut-kalut cari charger...huhu.

Ok dah, lepas ni kalau ada sapa-sapa telefon lagi...insyaAllah tak putus dah. Bai..

PS: Fida nak cakap dia ada telefon baru ler tu:P

Bola dan Cinta...

Tuesday, June 22, 2010
Perasaan untuk menonton piala dunia memang tidak dapat dibendung lagi. Semalam aku cuba menyaksikannya secara online. Portugal Vs Korea Utara, tapi hampa kerana kualitinya tidak sama dengan apa yang dipapar di skrin tv. Asyik tersekat-sekat dan boleh dikatakan langsung tidak menepati kehendak mata untuk melihat.

Dan bila baca forum sambil mendapat update dari seorang dua kawan menerusi YM, tahulah aku Portugal sedang berpesta gol. 7-0 angka yang diguna untuk membelasah Korea Utara sememangnya boleh buat Christiano Ronaldo nyenyak tidur. At least nyenyak untuk satu malam...hehe. Apa pun kita tunggu Jumaat ni, adakah team Christiano mampu membelasah team Kaka dengan angka yang sama, atau... alaaaa...Kaka pula tidak bermain Jumaat ni. Kalau tak, dapat tengok Kaka dan Christiano bermain. Mereka pemain hebat dari kelab yang sama, beraksi di atas padang yang sama, tapi menyarung jersi lain-lain...amacam?..eh jap..depa hebat ke?erkk

Aduhh!! anak dara dah menulis perihal bola. Habis la semua orang muntah hijau baca...haha. Ok, cukup bicara pasal bola. Apa kata bicara pasal lelaki dan bola..erkk bola lagi!! Muntah biru dah ni Fida oiii..hehe

Bagi aku, bola dan lelaki memang tidak dapat dipisahkan langsung, dan aku pula dibesarkan dalam suasana lelaki yang minat bola. Ayah dan dua orang adik lelaki aku begitu minat akan sukan yang satu itu. Sehinggalah tempias minat juga sedikit sebanyak terkena kat aku.

Jadi, disebabkan lelaki-lelaki dalam dunia aku merupakan lelaki yang minat bola dan pandai bermain bola kononnya, tidak dinafikan aku juga sedikit tertarik kepada lelaki yang minat kepada bola. Tapi 'minat bola' ni takde la sampai termasuk dalam senarai ciri-ciri yang wajib ada pada calon suami nanti, aku rasa la...tapi kalau ada bagus juga...erkk.

Cuma bila aku dapat tahu ada sesetengah lelaki di luar sana yang langsung tak minat bola, aku jadi pelik, tapi aku boleh terima. Alaaa, tak berdosa pun kalau tak minat bola. Iyer dak? Lelaki tak minat bola ni, lebih kurang macam perempuan tak minat masak... eh ke macam mana? Bagi aku lebih kurang macam tu la.

Bola di sini adalah bola sepak. Sekian.

Perang Dalam Hati...

Monday, June 21, 2010
Tegar aku menghadap takdir menjadikan aku bisu...
Kuat aku meniup luka, menghilang seribu rasa haru...
Aku anak manis di hujung lagu berpangkal rindu...
Mencari warna terang dalam kelam suram lampu...

Diam, tawa dan tangis aku...ku pohon diutus semangat baru...
Semangat lama, ku lambung tinggi biar hilang dibawa angin lalu...
Pada getar yang pernah menyeksa kalbu, ku ucap selamat tinggal bertalu..
Genggam tanganku ibu, aku lemah tanpa kuat jiwamu..
Kata ibu aku anak tabah...jangan pernah sekali ragu..
Kuat lemah aku ibu simpan kemas dalam pelukan rindu..

Pada selaut nikmat yang bertamu..
Pada kasih sayang seluas langit biru..
Pada kesempatan agung yang lalu..
Alhamdulillah...syukur padaMu Tuhan tak pernah aku jemu..

Mahal...

Friday, June 18, 2010
Incik Hitam...dah nama pun Incik Hitam, pasti semua tau warnanya hitam. Legam. Ada satu masa... Incik Hitam diselaput penuh kotoran. Debu. Hujan. Selut. Sakit mata memandang..... tiba-tiba di satu bahagian cermin yang diselaputi debu, ada orang conteng no telefon! Tapi sayang, kurang jelas,erkk...Itu cerita dulu-dulu. Tamat.

Cerita pagi tadi...keluar dari rumah untuk ke tempat kerja, dari jauh dah nampak ada satu kertas putih melekat di wiper Incik Hitam. Biasanya kertas-kertas iklan yang nak jadi kaya dengan cepat la banyaknya diaorang letak kat kereta-kereta yang parking kat sini. Tapi pagi tadi, yang peliknya, kat Incik Hitam je ada...kat kereta lain takde.

Makin aku menghampiri, makin nampak jelas kertas putih itu. Bukan kertas iklan pun, tapi sampul surat...jeng jeng jeng.... Aku ambil sampul yang sedikit Kebasahan terkena hujan pagi. Tengok dalam sampul, ada surat. Oh!

Rupanya ada hambaAllah mengirim surat salam perkenalan melalui Incik Hitam.... sudahhh!!!

Bila baca isi kandungan surat yang beberapa patah tu, aku tau dah...aku takkan buat apa-apa. Sebab, mungkin ada budak-budak yang nak main-main, atau….apa pun, perempuan patut jual mahal sikit..iyer dak? erkkk..

PS: Saya masih menunggu dengan sabarnya untuk bahagian 1 bertukar jadi bahagian 2. Amacam penggodam linux tersohor? Bisakah hari ini? ;)

Semakin Susah, Semakin Indah...

Wednesday, June 16, 2010
Alhamdulillah..hari ni dah bertambah sihat sedikit. Lidah pun dah mula ada rasa. Sekali sekala rasa sakit, aku suka. Cuma bila tiba masa nak mandi tu la, rasa seriau sangat. Tulang rasa gigil dan ngilu macam kena palu..huh.

Begitulah kehidupan. Ada masa sihat..disyukuri. Ada masa sakit..diinsafi.

Ok la..time untuk tengok bola.

Eh lupa.... tv rosak, alahaiiii... Tengok dalam mimpi aje la Fida oii! erkk..

Hari Yang Hilang...

Tuesday, June 15, 2010
Sudah dua hari aku pergi kerja dengan hidung sok sek sok sek, batuk-batuk. Nikmat sakit yang Tuhan kasi, alhamdulillah. Muni suruh aku ambil MC semalam, aku degil. Intan pula suruh aku makan ubat. Aku degil juga. Kononnya tak nak manjakan sangat diri ni. Afida ni kalau demam, jangan disuruh makan ubat atau berehat, nanti lagi parah demam dia. Dia kata..

Aku rasa ni demam kenduri sambut menantu kut....hehe. Maklumlah, cuaca kat bumi keropok lekor sewaktu aku balik kampung baru ni sangat panas. Sangat. Hari kenduri pula, aku agak sibuk berkejar ke sana ke mari memastikan lauk pauk mencukupi, layan tamu di khemah, basuh pinggan gelas periuk belanga, ermm boleh kata banyak benda yang aku buat... dan bila dahaga sikit, aku terus sambar air sirap berais, air jagung berais. Bergelas-gelas. Aku lupa yang aku ni agak alergik dengan ais. Ikut nafsu dahaga punya pasal, akhirnya diri sendiri yang merana.

Malam selepas kenduri tu, aku dah rasa lain macam. Tapi aku kuatkan semangat sebab besok aku terpaksa pulang ke KL. Hari Sabtu kenduri, hari Ahad dah nak kene balik bandar. Siapa yang tak penat kan? Yang harunya lagi co-driver aku takde, huhu. Eh aku memang tak pernah ada co-driver pun, haha. Yang ada hanya aku sendiri..berdikari..eceh..

Malam tu ayah offer nak hantar aku, sebab dia tau aku mesti penat drive sorang-sorang. Tapi aku tahu, ayah pasti lagi penat dari aku. Aku keraskan hati, tak kasi ayah hantar. Penat aku cuma sedikit berbanding penat ayah,insyaAllah... Allah selamatkan perjalanan pulang aku, pujuk aku pada orang tua. Pujuk dengan air mata! huh!

Usai solat isyak malam tu aku terus tumbang, penat yang amat, sungguh! Beria depan mak ayah cakap penat sikit je, hehe. Hakikatnya..Allah je Yang Tahu penat takat mana. Penat kedua orang tua aku, pasti berganda-ganda dari aku...aku tau tu.

Bila melibat orang tua, aku mudah nak mengalir air mata....dulu-dulu aku pernah cakap, aku mudah kalah pada kasihan, aku cepat tewas pada simpati. Berulang kali aku kata pada diri, aku anak tabah..dan aku memang tabah sebenarnya. Tapi kalau orang-orang yang aku sayang asyik mencurahkan simpati dan kasihan pada diri, aku jadi lemah. Tabah yang aku genggam kemas pun lerai entah ke mana....air mata pula cepat je nak bertahta...

.......jadi jangan simpati dan kasihan pada aku....please...erkk..

Bicara Takdir...

Monday, June 14, 2010
Soalan paling kerap yang ditanya kat aku time kenduri sambut menantu adik lelaki aku pada hari Sabtu baru ni, bila pula giliran aku? dan bila aku nak gemuk..erkkk..

Maaf disebabkan kenduri sambut menantu tu, blog atau apa saja yang melibatkan aku di alam maya terabai. Maaf juga kerana aku tidak sempat meng'publish' satu entry untuk menjemput semua ke kenduri sambut menantu adik aku. Dah ada niat dah nak buat entry tu, tapi bila berada di kampung, ditambah dengan macam-macam nak kene buat, (kenduri kali ni, kami masak sendiri... memang terlalu banyak benda nak kene buat, sedia, bla bla bla) jadi masa untuk blog terpaksa aku korbankan.

Oleh itu, aku minta maaf sangat-sangat kerana tidak berpeluang untuk menjemput... kenduri aku nanti ,yang aku tak tahu bila, insyaAllah aku akan jemput semua. Doa-doakan....

Anyway, kenduri went well.. it was hot...it was tedious..erkk..tedious in terms of answering that little question..."Bila pula Kak Nor nak kawin"..hehe..WaAllahualam, that's the best answer that i could give.

Tadbir manusia langsung tidak dapat mengatasi takdir Tuhan...i keep that in mind. By the way... Alhamdulillah... mak dah ada 2 orang menantu perempuan yang 'comel lotte'. Serius comel. Ada orang kata, menantu-menantu mak, ada iras kami adik-beradik perempuan. Aku tengok pun macam tu, hehe. Itulah yang dikatakan jodoh. Moga jodoh mereka berpanjangan hingga ke alam syurga.

Jodoh aku? Hanya Dia yang Tahu...

Kudus Malam...

Wednesday, June 09, 2010
Hari itu bakal berlaku lagi. Hari yang pernah aku lalui setahun yang lalu. Hari yang bakal mencoret satu lagi tinggalan sejarah dalam hidup gadis yang aku anggap manis ini. Manis? erkk..

Yang aku dambakan dari Yang Esa hanya sedikit kuat. Kuat yang boleh buat aku tersenyum panjang. Tersenyum pada semua orang....tersenyum pada mata hati yang memandang... tersenyum pada bahagia yang mendatang juga pada takdir yang ku pegang.

Takdir yang ku pegang ini, takdir yang tiada sedikit pun cacat apatah lagi cela. Yang aku tahu, ianya amat agung untuk ku milik. Syukurku tiada henti buat Yang Maha Mengerti. Sesungguhnya Dia mengetahui impi suci yang tersirat dalam hati.

Aku bukan minta simpati, apatah lagi janji duniawi.
Sekadar berkongsi cerita hidup yang tiada tepi.

Cuma...

entah macam mana harus aku susun kata dan bahasa,
untuk aku khabarkan pada dunia,
walaupun aku ini orang yang tak punya,
tapi bahagia dan suka aku tiada tara,
bukan niat untuk mencantikkan kata apatah lagi tinta,
sekadar menuntun jiwa yang masih berkelana,
di alam fana tempat menimba segala,
moga di sana kelak bahagia kan menimpa.

fuh!.....karat.......karat..... hehehe.

Walau Bulan Kelam, Bintang Tetap Terang...

Monday, June 07, 2010
So many things happen in life lately.... i just wish....

Pengalaman berada di Homestay di sebuah kampung di Tanjung Karang pada hari Jumaat yang lepas bersama sanak saudara merupakan satu anugerah. Kampung, sawah padi, segar, damai, tenang, anugarah tak ternilai......kecuali tandasnya sedikit 'horror'. Tandas kampung, di luar rumah, di tepi semak, sana sini lubang, tiada flush..erkk, anyway...

Budak-budak kecil, Razlan, Syahmi, Auzai, Hariz, Huda dan Nabilah sangat sukakan kolam renang. Siapa sangka, homestay di tengah-tengah sawah padi itu punyai sebiji kolam renang yang agak besar. Seronok mereka bermain air sampaikan kecut dan biru jari mereka tiap kali berendam. Kami-kami yang matang ni pun kadang-kadang tergugat juga rasa hati melihatkan mereka bermandi manda dari beranda rumah, sampaikan ada juga rasa ingin terjun sekali ke dalam kolam itu, tapi...hehe..

Alhamdulillah... pagi Sabtu yang hangat, dengan dua kali lafaz, adik lelaki aku, Afnan selamat menjadi suami kepada Hafizah. Seorang lagi 'kekasih' aku sudah 'diambil' orang, but that's ok. It's life right? Kasih sayang itu perlu dikongsi, bukan diletak di dalam 'laci'.

Part yang buat aku tergelak, ada yang ingat aku ni adik pengantin!! hehe. Tak kurang ada juga yang bertanyakan giliran aku. Cuma yang aku tak boleh lupa,babak sedih tok aku..aduhaiii ada juga!! Susahnya nak buat tok aku mengerti akan Takdir Tuhan itu sangat berkuasa dari tadbir aku.

Anyhow, i'm ok. Sungguh!

Allah Tahu akan lemah dan kuat aku..Allah tahu akan tangis dan senyum aku, dan pada doa yang aku pohon pada setiap waktu.... aku pohon moga Allah sentiasa kuatkan aku. Biar diri aku nangis, jangan hati aku sedih. Biar jasad aku nampak lemah tapi jiwa aku tabah. 'Cubitan' dari Sang Pencipta ini...aku syukuri...kerana aku tahu,ini tanda kasih sayangNya pada diri..

Rindu Pungguk Pada Bulannya...

Friday, June 04, 2010
Satu pagi di hujung minggu, hari Ahad. Bersiap-siap untuk pergi menjenguk adik perempuan yang baru masuk UIA, Nadirah. Dia dipindahkan ke Matrik UIA di Nilai sejurus menghabiskan seminggu program orientasi di Matrik UIA PJ... Nasib baik dari Putrajaya ke Nilai cuma dalam 30km dan 'short cut' melalui jalan Dengkil agak menyenangkan. Tidak jem dan tiada tol!

Kalau ikutkan hati, hari tu aku cuma ingin berada di rumah sambil menghabiskan buku Ustaz Pahrol yang baru dibeli, Di Mana DIA di Hatiku, tapi dek pesanan mak semalam yang menyuruh aku menjenguk dia di Nilai sana. Anak yang baik hati ni akur akan suruhan bonda tersayang, biar ada halangan, tapi permintaan bonda tetap diutamakan.

Alhamdulillah, tidak susah untuk aku mencari blok kolej tempat dia menginap. Kalau ikutkan, aku mahu berada di situ beberapa ketika sambil bersembang apa jua cerita yang dia ingin luahkan, kemudian aku balik. Tapi lain yang dirancang, lain pula yang terjadi. Bila dia turun dari tangga kolej, aku lihat dia siap berpakaian kemas, bawa beg. Seolah-olah ingin mengikut ke mana saja aku ingin pergi. Sudahhh...

Masuk kereta, aku tanya dia mau ke mana. Dia kata tak kisah pergi mana. Asalkan pergi dari situ.Haru! Dah la tempat kat Nilai aku tak biasa sangat, last-last aku mengambil keputusan untuk bawa dia balik ke Putrajaya.

Sewaktu Incik Hitam membawa kami keluar dari kawasan kolej, tiba-tiba aku terdengar esakan dia. Sedikit demi sedikit. Aku tau dia menangis walaupun dia tak cakap. Dia menangis sebab rindu. Rindu keluarga. Rindu saudara. Rindu kampung. Dan bila dia dapat bersama aku, satu-satunya darah daging yang dia temui di bumi asing ni, lagi menambah sebak di dada dia. Aku tau tu.

Tapi aku jahat. Eh bukan jahat, aku nakal. Aku nakal sebab aku gelak sewaktu dia teresak-esak menahan tangis, huhu. Aku gelak bukan sebab tengok dia menangis, cuma teringat zaman aku dulu pun begitu; waktu mula-mula masuk Matrik UIA. Cuma, aku tabah sikit la dari dia..he..he. Jadi bila aku tengok dia menangis, macam aku tengok aku dulu-dulu, waktu pertama kali berada jauh dari kampung sendiri.

Bezanya, aku dulu-dulu mana ada abang kakak nak datang jenguk. Yer la,dah aku anak sulung kan...haha. Kalau rindu keluarga, aku telefon je mak ayah guna public phone, lepas segala tangis dan rindu kat telefon tu. Kadang-kadang habis duit syiling 3 ringgit telefon tu telan. Sampai hati. Tapi takpe, rindu punya pasal.Kalau nak lepas rindu betul-betul, tunggu cuti semester. Balik kampung!

Hampir 10 tahun berlalu kisah lalu, kini ada tikanya anak yang tabah ni juga menangis...menangis sebab rindu yang sama, ada juga datang menyapa...sekali sekala..

PS: Hari ni keje half day, (ye la kalau tak mana aku berupaya nak menghadap blog saat-saat macam ni kan?)... Kejap lagi nak bertolak ke Tanjung Karang. InsyaAllah ada masa dan umur panjang kita 'bersua' lagi on the day after tomorrow..or day after day after tomorrow;)

... Assalamualaikum...

Walau Malu Melata, Tetap Meminta Syurga...

Wednesday, June 02, 2010
Sehelai tudung baru... untuk aku pakai ketika majlis akad nikah adik aku sabtu ni, masih belum ditemui. Ah nak ketemu macam mana kalau langsung tidak dicari. Apa pun aku mesti mencarinya sebelum tiba hari yang dinanti. Kalau tak, mana aku ada tudung yang boleh dipadankan dengan jubah putih yang aku beli kat Madinah tempoh hari? Takkan nak pakai tudung hitam kosong kan? Tahi cicak jadinya aku nanti..errk..

Kawan aku nasihat, jangan pakai tudung putih, nanti tertukar dengan pengantin..he.he.. Aku percaya, walaupun aku mengenakan pakaian serba putih pada hari berkenaan,aku pasti, pengantin dan aku jauh beza. Jauh sangat. Percaya lah. Takkan tertukarnya....pasti!

Seumur hidup, aku tidak pernah lagi mengenakan pakaian serba putih dari tudung hingga ke hujung kain kecuali telekung sembahyang, ingat nak terai juga pakai serba putih ni. Tengok la kalau jumpa tudung putih yang berkenan di hati..

Owh yer..besok lusa, atau bila-bila.
Tanpa perlu dicari atau dipinta.
Baju serba putih akan dipakaikan jua.
Buat menutup jasad kecil lagi hina.
Tiada lagi gema gelak dan tawa.
Apatah lagi seronok dunia yang penuh dusta.
Sama ada bersedia atau sebaliknya.
Kita semua pasti akan ke sana.

PS: Biarlah mati sentiasa hidup di hati..

Till then...bai.

'Mak'...

Tuesday, June 01, 2010
Hari ni..banyak perkara yang menimpa diri.
Entah cukup kuat atau tidak untuk aku hadapi.
Aku pasrahkan diri aku tahu semuanya ketentuan Ilahi.
Pasti ada suka yang terselit di sebalik semua ini.

Muni...teman serumah yang hampir 3 tahun bersama. Suka duka diharung bersama dia. Nampaknya Muni takkan lama bersama kami di rumah tu. InsyaAllah ada rezeki, dia akan berpindah ke tempat yang lebih baik untuk dia. Rezeki Allah, siapa sangka secepat ni rezeki Muni bekerja di tempat lain. Aku doa moga Dia permudahkan urusan Muni untuk menempatkan diri di situ.

Awal-awal lagi aku dah boleh agak ini akan terjadi. Six sense, biasa la..hehe. Kalau tak pindah tempat kerja, kahwin, atau ajal akan datang menjemput....nak tak nak kami pasti akan keluar dari rumah yang damai itu suatu hari nanti.

Ah nama tempat pun Damai..sememangnya memberi tempias kepada suasana rumah kami...damai...

Cuma yang bermain di fikiran aku.....bila Muni pergi suatu hari nanti, separuh kekuatan aku untuk menetap di rumah tu juga akan pergi mengikut Muni sekali. Mana aku nak cari ganti separuh kekuatan lain untuk aku terus menetap di situ untuk satu tempoh masa lagi? Di mana?

Muni, kami suka memanggilnya dengan panggilan 'Mak'..hehe. Yer la, watak ke'mak'kan memang jelas terserlah pada Muni. Apa-apa sikit Muni.. even nak makan nasi pun bagitau Muni. Baiki paip rumah bocor pun Muni, masak untuk kami anak-anak kecil ni pun Muni. Muni memang handal serba serbi. Maklumlah 'mak' kan..hehe

Aduhh, aku menulis ni bercampur baur perasaan sedih sebab aku tau Muni akan pergi. Aku gembira dia dapat kerja baru, tapi dalam masa yang sama.... aku tak nak dia pergi. Siapa yang nak baiki paip kalau bocor lagi? Sapa yang nak buat makaroni bakar yang best tu lagi? Nak buat puding roti? Buat bubur cha cha. Siapa? Siapa?

PS: Kapal induk yang menghantar misi bantuan ke gaza diserang, setakat yang di update 20 orang sudah meninggal. Ada sukarelawan dari Malaysia juga berada di atas kapal tu,ayuh ummat Islam, sama-sama kita doakan keselematan mereka semua....... Ya Allah selamatkan lah mereka dari Israel laknatullah...

 

Browse