Menolak Luka Dari Rasa Yang Terluka...

Wednesday, March 31, 2010

Dik....kenapa yer..takdirmu sebegini rupa. Luluh sekali hati akak membaca kisah-kisah mu. Kisah-kisah mu bukan seminggu sekali, bukan sebulan sekali. Tapi tiap-tiap hari dik!!

Dik....kenapa yer.. manusia itu memperlakukan mu sedemikian rupa? Akak masih tidak mengerti kenapa.. binatang pun sayangkan anaknya, kenapa bukan manusia itu?... manusia ke manusia itu? Atau binatang?? Arghh manusia itu lebih keji dari binatang!!

Dik, tempatmu di syurga kelak, itu sudah pasti. Kau derita di dunia, tapi kau bahagia di sana. Kami..walau bahagia di dunia belum tentu di sana pun bahagia. Akak cemburu dengan syurga yang sudah berada di genggamanmu dik....

Sejak Aku Temukan Aku Di Dalam 'Aku'…

Tuesday, March 30, 2010
Hampir 3 tahun saya bergelumang dalam bidang kuli ni, sudah 3 projek saya terlibat secara langsung. Saya suka bidang saya. Dan saya suka dengan kerja saya walaupun kerja sebagai kuli. Tapi entah kenapa projek baru ni, macam ada rasa tidak kena dengan jiwa.

Rasa yang bergerombol tak tentu arah. Rasa pemberontakan. Rasa kemalasan. Rasa yang tidak best. Semuanya menghamburkan diri dihadapan saya.

But my life's ok. Not good but ok. I am still holding on... still carrying on..

PS: Doakan saya...ya!

Berjalan Sepanjang Gelombang Dalam Ketidakjangkauan...

Monday, March 29, 2010
Hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, saya sempat singgah di sana pagi hari itu, hari Ahad. Kedatangan saya ke sana pun agak 'ad hoc' kerana malam sebelum tu baru saya confirmkan dengan Kak Tirana yang saya dapat ke sana. Alhamdulillah, perjalanan dari Putrajaya ke PWTC (tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa) melalui KL-Putrajaya highway mengambil masa tidak sampai setengah jam pun. Cuma masa yang lama diambil untuk mencari parking. Aduhaii ramainya orang!!

Alhamdulillah, di Pesta Buku kali ni, saya berpeluang bertentang mata dengan kak Tirana, teman blogger yang sudah lama saya kenal. Rasanya sudah 2 tahun lebih saya mengenali beliau di alam maya. Akhirnya kami berpeluang untuk berjumpa di alam nyata. Ternyata Kak Tirana sedikit berbeza dari yang saya kenal di blog. Saya ingatkan Kak Tirana agak pendiam, skema dan tidak kecoh. Rupanya sangkaan saya meleset.

Saya rasakan saya dah habis kecoh, rupanya Kak Tirana lagi kecoh!!..hehe. Apa pun Kak Tirana memang bestt! Seronok dapat jumpa Kak Tirana dan anak-anak beliau. Cuma, kasihan kat anak bongsu Kak Tirana,dia tak sukakan 'crowd' dan menangis-nangis ajak pulang. Tapi memang diakui, kalau saya jadi budak kecil, pasti saya pun tidak sukakan suasana yang penuh dengan orang ramai.

Sejurus berjumpa dengan Kak Tirana, barulah kami sama-sama menyerang booth jemari seni tempat penulis terkenal Khairi aka Xarine sedang khusyuk bertapa melayan peminat-peminat beliau, hehe.. Woww memang ramai peminat Khairi ni. Sampaikan berasak-asak nak jumpa dia termasuklah kami. hehe..

Caya lah Khairi, dah hasilkan dua buah buku dah sepanjang 2 tahun saya mengenali beliau! Saya ni entah bila la nak tulis buku, berangan je lebih!!...huhuhu.

Di sana, saya sempat sambar satu buku je, Lorong Kematian oleh Geidurrahman El-Mishry. Satu lagi, novel Yuda di Padang Maya, hadiah daripada Khairi sempena saya menjadi pengadil di dalam pertandingan yang dianjurkan beliau baru-baru ni. Terima kasih daun keladi Khairi, kalau tulis buku baru nanti, jangan lupa kasi lagi.. hehe. Tak sempat nak pusing-pusing semua booth, berkejar ke UIA pula selepas tu, ada temu janji dengan adinda tersayang, huhu.

Nota untuk Kak Tirana: Terima kasih cookies, dah habis pun satu tabung tu. Sedap sangat!!..hehe, owh mana gambar di hari kejadian? Tak sabar Fida nak tengok ni, hehe..

Nota untuk Kay: Maaf Kay, Fida betul-betul lupa nak maklumkan pada Kay akan kedatangan Fida ke Pesta buku tu. Kalau Kay free, Kay pun boleh datang sekali dan kita boleh jumpa. Dah lama tak jumpa Kay..

Berjumpa Tapi Tidak Bertemu...

Sunday, March 28, 2010
Tanpa lelah,
Tanpa penat,
Kaki masih melangkah,
Setapak demi setapak,

Menyelongkar bumi,
Mengintai langit,
Mencari belahan,
Buat penguat diri,

Entah mendekati,
Entahkan menjauhi,
Atau tidak akan ditemui,
Hanya Dia Yang Mengetahui.

ps: Berdebar, tapi saya tidak sabar untuk bertemu dengan mereka pagi besok. Mereka yang punyai akaun dalam 'love bank' saya. Selama ni memang kami selalu 'berjumpa', tapi kami tidak pernah bertemu. Kak Tirana...akhirnya kita akan bertemu! insyaAllah... Khairi, Yuda untuk saya awak jangan lupa!!! hehe. Jom kita pakat pi pesta buku, besok dah last day!!

Bulan Madu...

Friday, March 26, 2010
Kisah di Madinah agak berlainan sedikit berbanding di Mekah. Di Madinah, kami agak 'releks',maklumlah kami tidak perlu membuat tawaf sunat, tidak perlu buat umrah. Cuma bersolat jemaah di Masjid Nabawi dan mengunjungi Raudah. Di samping beberapa lawatan ke sekitar tempat-tempat bersejarah di Madinah yang dianjurkan oleh agensi umrah kami.

Pada hari pertama di bumi Madinah, keterujaan saya untuk melawat Makam Baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba terbantut. Alangkah kecewanya saya apabila saya diberitahu kaum wanita hanya dibenarkan untuk berada di Raudhah saja. Itu pun pada waktu-waktu tertentu. Maka ketika di Raudhah lah saya menyampaikan salam dari sahabat-sahabat buat Baginda Rasulullah.

Ayah dan ibu di hadapan Masjid Nabawi. Perfect...

Ketika di Raudhah, saya dapat melihat pandangan dari arah belakang kalau tak silap saya, Makam Baginda Rasulullah s.a.w dan khulafa' Ar-Rashidin yang dimakamkan sekali bersebelahan dengan Makam Baginda. Juga mimbar tempat Baginda Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah. SubhanaAllah, betapa indahnya masjid Nabawi.

Namun saya terpaksa akui, 'ruh' atau keseronakan berada di Kota Mekah lebih mencengkam saya. Bukanlah saya tidak seronok berada di Kota Madinah, seronok juga. Cuma orang kata, di Mekah lebih lagi. Bila la saya dapat ke sana lagi?

....berangan untuk berbulan madu di sana boleh kan? Berangan je, mana la tau jadi nyata. InsyaAllah...

Dia Orang Baik-Baik...

Wednesday, March 24, 2010
Sekarang, baru lah saya faham kenapa Nur Amina (cerita Nur Kasih) lari ke Makkahtulmukarramah untuk mencari ketenangan setelah mengalami krisis dengan Adam yakni suaminya. Walaupun hanya bekerja sebagai pembantu kepada Ummi bagi menguruskan kedatangan orang-orang yang datang untuk buat haji atau umrah (dalam cerita tu la kalau tak silap), tapi dia sanggup tinggal di bumi Allah itu bertahun-tahun. Itu dalam cerita .Tapi benarlah, keberadaan diri di sana sudah cukup mendamaikan dan menenangkan.

Udara, suasana, pemandangan, bau kota Mekah sendiri, wajah-wajah saudara seagama yang pelbagai rupa dan warna....semuanya seakan-akan menghembus ketenangan yang amat mendamaikan. Saya suka. Sangat-sangat suka. Berkali-kali saya katakan pada ibu. "Best kan ibu, kalau kita dapat stay sini terus, tak payah pulang". Ibu senyum. Besoknya saya mengadu lagi kat ibu, "Kak Nor rasa macam malas nak balik Malaysia la, nak duk sini je". Besok kata-kata yang sama lagi. Saya tahu, ibu rasa apa yang saya rasa.

Di sana...saudara-saudara seislam kita selalu buat hati saya tersentuh. Tak kira bangsa apa. Cuma sedikit pertolongan buat mereka, tapi doa mereka untuk kita, masyaAllah saya kira lebih besar dari pertolongan yang kita buat. Ada yang memeluk kita erat sambil berdoa untuk kita, ada juga yang mengusap-usap belakang kita sambil mendoakan kita, semuanya buat saya terharu. Dan yang buat saya sangat sayangkan mereka, doa mereka untuk kita begitu bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan walaupun tak pernah mengenali kita. Saya dapat rasakan itu. Bayangkan itu baru pertolongan yang seciput. Kalau pertolongan yang besar macam mana la agaknya.

Kalau kat Malaysia, kita hanya ucap terima kasih je kan kalau ada orang tolong kita? Iyer dak?

Nak baca cerita selepas subuh pertama saya di Masjidilharam? Subuh selepas mengerjakan ibadat umrah yang pertama. Kisah ni lagi buat saya terharu bila saya duk teringat-ingat. Saya tak buat apa-apa pun kat dia, kenal dia pun tidak, tapi dia mendoakan saya. Dia menyakinkan saya Allah itu Maha Memakbulkan doa hamba-hambaNya. Moga Allah memberi kesejahteraan yang berterusan untuk dia di dunia dan akhirat. Aminn.

Ceritanya begini, usai solat subuh berjemaah yang pertama kali buat saya di sana, saya terus menadah tangan berdoa kepada Allah. Tiba-tiba dia, (saya rasa dia orang Turki) yang duduk berjemaah di sebelah saya memegang bahu saya lembut sebaik saja dia lihat saya selesai berdoa. Dia berkata sesuatu di dalam bahasa Turki sambil mengangguk-angguk yakin. Saya tidak faham apa yang dia ucapkan, kecuali perkataan 'Allah' dan 'doa' yang boleh ditangkap dek telinga. Saya mengandaikan dari 'body language' dia, dia kata Allah akan memakbulkan doa saya.

SubhanaAllah..Saya tersenyum dan mengangguk-angguk juga, mengiakan kata-katanya, saya tidak mampu untuk berkata-kata atau mengucapkan terima kasih kepadanya kerana masih lagi sebak, cuma senyum je yang saya mampu lakarkan. Dia membalas senyuman saya sambil menepuk-nepuk bahu saya lalu berlalu meninggalkan saya. Wajah dia takkan saya lupakan sampai bila-bila.

Selain dia, ramai lagi orang baik-baik yang saya jumpa kat sana. Kalau saya cerita kat sini sorang demi sorang kisah mereka-mereka yang baik-baik itu, mungkin tidak tidur kalian membaca kisah mereka gamaknya, hehe. Biarlah saya simpan cerita mereka-mereka yang baik-baik tu dalam hati saya. Saya rasa, sampai bila-bila pun saya takkan dapat melupakan mereka-mereka itu.

Kalau kalian nak tahu juga, cuba-cubalah selami hati saya, mana tau dapat membaca kisah mereka-mereka yang baik-baik itu. Kisah Donia, Eshwar, makcik urut kaki, suri rumah Turki, makcik berkerusi roda, pensyarah german, ibu Dewi, Aunty Ana..uish banyak banyak..tak mampu saya nak cerita malam ni, erkk.. (Bagitau je la dah malas nak menaip kan? huhu)

Dan Edot, saya bukanlah baik. Edot lebih baik dari saya. Saya tahu itu. Percayalah Edot, saya ke sana membawa selautan dosa, malah mungkin lebih lagi dari tu. Saya tatau nak kata apa. Moga-moga Allah mengampunkan saya dan kita semua. InsyaAllah, kalau Edot ke sana suatu hari nanti, saya yakin segala pengalaman edot, pasti lebih baik dari saya, insyaAllah!!!

PS: Di samping kat sana, kat sini pun saya banyak jumpa dengan orang baik-baik., termasuk lah kalian semua. Syukur Dia temukan kita. Dan Kak Nass... Pensyarah german tu mengingatkan saya pada Kak Nass. Dia macam Kak Nass, baik hati dan comel;)

Till then..selamat menghirup udara malam semua.....

Doa Makbul (2)...

Tuesday, March 23, 2010
Di Masjidilharam, solat jenazah akan dilakukan setiap kali selepas solat berjemaah. Seingat saya, sepanjang saya di Masjidilharam tidak pernah lagi solat jenazah tidak dilakukan selepas solat wajib. Pasti ada kematian yang menjengah pada setiap waktu solat. Kadang-kadang kelihatan seorang demi seorang jenazah diusung memasuki masjid untuk disembahyangkan. Ada waktu yang mencecah sehingga 8 orang atau 9 orang.

“Dari Allah kita datang, dan kepadaNya jua kita akan kembali”

Kebiasaannya saya akan menunggu Imam selesai mengimamkan solat jenazah sebelum mengangkat punggung keluar dari masjid. Dalam perjalanan keluar, boleh dikatakan tiap-tiap waktu saya berpeluang menyaksikan jenazah-jenazah diusung keluar dari masjid melalui pintu King Abdul Aziz 1 di lorong yang paling kanan. Saya cuma berpeluang melihat jenazah-jenazah diusung dari jauh memandangkan saya biasa menggunakan lorong tengah atau lorong paling kiri.

Ada satu hari, usai solat asar. Sambil kaki melangkah memasuki lorong tengah untuk keluar melalui pintu King Abdul Aziz, dengan langkah yang sangat perlahan disebabkan himpitan manusia, saya mengintai-intai ke arah laluan yang paling kanan. Tapi petang tu, tiada satu jenazah pun yang kelihatan, cuma lautan manusia yang bergerak perlahan untuk keluar dari perut masjid. Saya berbisik perlahan kepada ibu yang berjalan di hadapan sambil memimpin tangan saya erat.

"Ibu, kenapa tak nampak lagi eh orang-orang yang usung jenazah? Ke dah keluar? Ala kalau dah keluar, tak sempat la Kak Nor nak tengok mereka petang ni"

"Kenapa kak Nor nak tengok sangat?", ibu bertanya dengan musykil.

"Saja, boleh buat kita ingat kematian, dan boleh mendoakan mereka yang 'pergi' tu sekali", saya kata kat ibu.

Tup tup, tiba-tiba kedengaran kecoh sekali suara pak-pak arab dari belakang kami. Rupa-rupanya mereka-mereka yang bertugas mengusung jenazah-jenazah ni melalui lorong tengah yang kami sedang lalu. Padahal kebiasaannya mereka melalui lorong kanan. Mereka dengan pantasnya mengarahkan kami segera ke tepi sedikit agar orang-orang yang mengusung jenazah-jenazah dapat lalu dengan mudah. 5 atau 6 jenazah melalui depan-depan mata saya. Saya terlopong. Mak dengan segera berbisik.

"Hah, Kak Nor nak tengok sangat jenazah kan? Dia kasi tengok depan-depan mata, bukan dari jauh macam yang selalu kita tengok".

Saya pegun seketika. Sungguh, itu lah kali pertama saya melihat jenazah-jenazah dengan jarak yang tersangat dekat. Saya tidak terkata, dalam hati, saya tidak putus-putus bertasbih. SubhanaAllah...SubhanaAllah sambil mendoakan kesejahteraan mereka yang 'pergi'.

Di samping kisah-kisah kebaikan atau kemudahan yang dianugerahkanNya, tidak lupa ada juga beberapa mehnah atau ujian yang Dia bagi saya rasa ketika di sana.

Masih di satu petang, usai solat asar tapi di hari yang berlainan. Sambil berjalan beriringan dengan ibu untuk pulang ke hotel untuk mandi-mandi dan bersiap-siap untuk pergi solat magrib dan isyak, pemandangan lain yang biasa saya lihat di tengah-tengah lautan manusia adalah pemandangan sebahagian burung merpati sedang mematuk makanan yang orang ramai lempar di tepi jalan dan sebahagian lagi burung merpati terbang merentasi lautan manusia yang baru keluar dari masjid. Ada suasana indah dan damai pada pemandangan ni. Saya suka. Tapi entah mengapa hati saya boleh pula terdetik petang tu. Petang-petang sebelum tu takde pula nak terdetik.

"ni kalau burung-burung yang terbang berak ni, habis la".

Berjalan tak sampai lima langkah, saya dengar ibu mengadu telekungnya terkena najis burung. Saya dah cuak. Kesian ibu. Tengok-tengok telekung saya yang bersentuhan dengan telekung ibu pun terkena tempias sedikit, alahaii...

Sambil mencuci-cuci najis burung, boleh pulak saya tanya ibu.

"Ibu,apa yer dosa yang kita dah buat, sampai burung boleh berak atas telekung kita?"

Ibu senyum. Tentang dosa,ibu kata waAllahualam. Diri sendiri lebih tahu dan perlu pohon ampun dari Dia. Tapi yang ibu tahu, Allah nak uji kita. Yer la, kita susah-susah kene cuci najis burung tu semua, insyaAllah Allah nak kasi pahala kat kita. Ibu senyum. Saya pula sepi tidak terkata, apatah lagi pasal lintasan yang terlintas di hati saya tadi, langsung tidak saya khabarkan pada ibu.

Itu antara kisah-kisah doa atau kata-kata yang Allah terus makbulkan ketika saya di sana. Makbulkan terus depan mata, SubhanaAllah... InsyaAllah, entry akan datang, mungkin kisah lain pula. Tengok la macam mana. Owhh yer, maafkan saya kerana saya suka bercerita sampai meleret-leret jadinya. InsyaAllah, di lain cerita, saya akan cuba kurangkan leretan. Tapi kalau masih termeleret, harap dimaafkan yer!

Till next entry...bai.

Wasalam..

Doa Makbul...

Sunday, March 21, 2010
Alhamdulillah, ibadat umrah kami yang seterusnya berjalan lancar. Ayah dan ibu sangat bersemangat dan sangat gigih melakukan sebanyak mungkin ibadat ketika di sana. Mengalahkan semangat muda saya sewaktu mula-mula sampai. Apa pun saya bersyukur Allah bagi kedua orang tua saya dan saya kekuatan dan kemudahan untuk melakukan ibadat umrah dan tawaf sunat berkali-kali.

Risau juga saya, maklumlah ibu saya mengalami sedikit masalah kesihatan. Cuaca pula sangat panas, kering dan agak berdebu memandangkan kerja-kerja pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit di sekeliling masjidil haram sedang giat dijalankan.

Ketika di sana ada beberapa hari ibu terlupa untuk mengambil ubat hariannya, Alhamdulillah, walaupun terlupa mengambil ubat hariannya yang wajib, kesihatannya langsung tidak terjejas. Malah saya lihat ibu lebih sihat dan bugar dari biasa. Ada kalanya lebih pantas dan lebih bertenaga.Di Malaysia, kalau ibu terlupa mengambil ubat, saya pasti ibu akan jadi lemah tidak bermaya.

Ibu kata, ibu doa banyak-banyak supaya ibu kuat dan tidak sakit. Mekah bumi yang barakah, doa cepat makbul, kata ibu lagi. Saya mengangguk yakin!

Di Mekah, tabiat minum banyak air kosong saya kekal tidak berubah sama seperti di Malaysia, cuma yang bezanya di Mekah saya dapat minum air zam zam yang banyak disediakan di Masjidilharam. Memang air zam-zam je yang diminum, tiada air lain. Kadang-kadang 3,4 botol sehari. Botol hijau-1-liter yang saya bawa dari Malaysia setia meneman saya ke mana saya pergi. Betapa nikmatnya terasa bilamana air zam zam melalui celah kerongkong. Sejuk...segar..Alhamdulillah...

Hari pertama di sana saya mengadu kat ibu. Saya kata saya takut nak minum air zam zam banyak-banyak. Takut nanti asyik nak ke tandas, air sembahyang tak tahan lama. Ibu kata, kenapa saya tak doa. Sambil minum air zam-zam niat dan berdoa semoga Allah tak kasi rasa nak ke tandas. Kasi saya dapat buat ibadah lebih aman dan tenang. Sejak tu, setiap kali minum air zam zam, saya berdoa, selain berdoa untuk kesembuhan penyakit yang ada, saya juga berdoa supaya Allah tak kasi saya rasa asyik nak ke tandas. Alhamdulillah!!! Dia Maha Memakbulkan doa!

Kisah lain pula, pernah suatu hari, sewaktu mahu mandi pagi untuk ke masjid bagi solat subuh, air paip hotel yang keluar terasa baru lepas mendidih. Padahal kami tidak memasang 'heater' langsung sepanjang berada di situ kerana airnya sudah automatik panas. Tapi pagi tu, air terasa panas yang lain macam. Panas yang sangat pedih. Memang tidak boleh bersentuh dengan kulit langsung. Waktu tu, tinggal saya sorang yang masih belum mandi. Ayah sudah ke masjid. Ibu pula sedang bersiap sambil menunggu saya di bilik. Kalau saya dan ibu lambat, sah sah kami tidak akan dapat peluang untuk bersolat jemaah di hadapan kaabah. Tiba-tiba saya teringat kata ibu, apa-apa doa kita di tanah suci ni cepat dimakbulkan Allah. Lantas hati saya terus berdetik,

"Ya Allah, hambaMu ini ingin bersuci untuk beribadat kepada Mu. Kau sejukkanlah sedikit air yang sangat panas ni",

Tak sampai beberapa saat saya rasa, air yang dari tadi seolah baru lepas mendidih beransur-ansur hilang aura mendidihnya. Akhirnya menjadi suam-suam yang boleh dibuat mandi. Terus saya mengucap kata-kata syukur, Alhamdulillah...Alhamdulillah. Masuk je bilik, terus saya khabarkan kejadian tadi kepada ibu. Menurut ibu, dia pun mengalami kejadian yang sama sewaktu mahu mandi sebelum saya tadi, subhanAllah!!

Ada beberapa lagi kisah doa atau lintasan hati yang Allah terus makbulkan betul-betul berlaku di hadapan mata saya ketika saya berada di bumi Allah yang penuh barakah itu. Nanti la saya sambung entry akan datang ;)

Selamat malam semua...
Wasalam..

Sebelum Azan Subuh Berkumandang...

Friday, March 19, 2010
Masuk kali ni, ini kali kedua ayah dan ibu saya mengunjungi tanah suci selepas 13 tahun mereka meninggalkannya. Mereka telah ke sana pada tahun 1997 yang lalu bagi menyempurnakan ibadat haji. Bagi saya pula, ini kali pertama saya ke bumi barakah itu. Alhamdulillah, ayah dan ibu banyak memberi tunjuk ajar sebelum dan ketika keberangkatan saya ke sana, juga sewaktu di sana..apa yang wajib buat, apa yang tidak boleh buat, dan bermacam-macam lagi.

Saya sangat-sangat bersyukur kerana Allah bagi saya peluang untuk menunaikan ibadat umrah bersama kedua orang tua yang sangat saya kasihi. Saya mendoakan moga di waktu akan datang saya dan kita semua dipanggil untuk menyempurnakan ibadat Haji pula. InsyaAllah..moga Allah menjemput saya dan kita semua untuk itu kelak. Aminn..

Ini cerita saya, cerita permulaan orang kata. Banyak nak cerita sebenarnya, cerita biasa dan juga cerita luar biasa. Tengok la kalau diberi kelapangan dan kesempatan. Moga ada yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran dari cerita-cerita saya, cerita ini atau cerita-cerita yang akan datang, InsyaAllah.

Kami tiba di lapangan terbang Jeddah dari KLIA sekitar jam 8 petang waktu di Jeddah. Atau hampir pukul 1 pagi waktu Malaysia. Penerbangan yang memakan masa selama 9 jam membolehkan keletihan sewaktu berada di dalam perut kapal terbang memamah urat-urat badan yang ada. Keletihan badan akibat lama berada di awan tinggi ditambah dengan kesakitan kepala akibat langsung tidak tidur di sepanjang penerbangan meronta-ronta minta diubat, tapi saya buat tidak endah. Biasa la...badan saya ni tak boleh dimanja-manja sangat. Kalau dilayan pasti makin teruk sakitnya. Tatkala kami melangkah keluar dari perut kapal terbang, haba tanah arab yang suam-suam kuku menyambut kedatangan kami. Enak sekali rasanya.

Namun keenakan haba itu tidak bertahan lama. Ia bertukar jadi kepanasan yang menggelegak gara-gara kerenah pegawai kastam berbangsa arab yang bersikap entah apa-apa. Pemeriksaan keluar ketika di lapangan terbang Jeddah boleh dikatakan sangat cerewet. Sudah la ramai yang amat orang yang menunggu, bukan group kami yang seramai 42 orang ni ja. Tapi beratus-ratus orang, mungkin beribu-ribu. Mereka boleh pulak buat kerja sambil berlengah-lengah!!! Siap tangkap gambar kami sorang demi sorang. Ambil cap jari kelima-lima jari kami bagi dua-dua belah tangan!!! Pastu ada hati nak beramah mesra sorang demi sorang. Saya dah mengomel sorang-sorang dalam hati. Bayangkan hampir 2 jam lebih kami menunggu untuk hal itu! Nasib baik kepanasn yang menggelegak itu berjaya disejukkan sedikit dengan kesabaran. Tempat diaorang, nak buat macam mana, memang kami terpaksa ikut. Sabar je la.... Lupakan kisah yang menggugat kesabaran itu. Kita sambung balik kisah perjalanan ke Makkatul Mukarramah...ok?

Lebih kurang pukul 10.20 malam waktu KSA (Kingdom of Saudi Arabia) barulah kami menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah untuk bertolak ke Masjidilharam di Mekah. Menurut ustaz Mokhtar, jika jalan tidak jam, perjalanan dari Jeddah ke Mekah cuma memakan masa sejam setengah je.

Kami telah berniat ihram sewaktu di dalam kapal terbang. Jadi malam ini akan jadi malam yang panjang bagi kami. Letih penat yang datang semua kami tolak ke tepi. Sewaktu saya lihat wajah ibu dan ayah, kepenatan memang jelas terpancar, tapi alhamdulillah mereka masih gagah dan kuat sama seperti saya. Allah betul-betul bagi kami kekuatan. Syukur..

Di dalam bas, kami bertalbiah di sepanjang perjalanan untuk ke Mekah. Ada rasa yang menggamit di hati saya...entah la. Apa pun talbiah menjadikan kami bersemangat. Sungguh! Penat dan letih hilang entah ke mana. Alhamdulillah!!! LabbaikaAllahummalabbaik...

Setibanya kami di Mekah, Ustaz Mokhtar membawa kami mengunjungi masjidil haram untuk menyempurnakan ibadah tawaf ,saie dan tahallul. Waktu tu sekitar pukul 12.30 pagi. SubhanaAllah perjalanan lebih kurang 5 minit dengan berjalan kaki dari hotel tempat kami menginap ke masjidilharam mengundang pelbagai rasa. Sebak, terharu, semua bercampur baur. Macam mimpi pun ada bilamana melihat masjidil haram buat kali pertama. SubhanaAllah... SubhanaAllah...

Jejak je kaki memasuki masjidil haram melalui pintu King Abdul Aziz, saya sudah nampak kelibat kaabah yang megah berdiri di tengah-tengah masjid dari jauh. Selangkah demi selangkah saya menghampiri untuk melihat dengan lebih jelas. Hati saya berdebar-debar. Tiba-tiba muncul satu rasa dari hati yang saya tidak pernah rasakan selama saya hidup di atas muka bumi ni, rasa bilamana kaabah betul-betul berada di depan mata saya. Saya tidak tahu macam mana saya nak cerita kat sini. Tapi itulah rasanya. Sedar-sedar air mata sudah menitik-nitik jatuh...

Dengan sedikit tunjuk ajar dari Ustaz Mokhtar beserta buku panduan ibadat umrah yang berada di tangan kiri saya, sambil tangan kanan saya erat memaut lengan kiri ibu, dengan lafaz BismillahiAllahuakbar, saya melakukan ibadat tawaf buat kali pertama. Begitu juga dengan saie di antara Bukit Safa dan Marwah dan juga tahallul. Semuanya kali pertama buat saya. Alhamdulillah lengkap ibadat umrah pertama saya sebelum azan subuh berkumandang di Masjidilharam pagi tu. Perasaan saya, Allah je yang tahu. Syukur, terharu, gembira...semua ada, SubhanAllah.. Alhamdulillah...Allahuakbar!!!

Pelepas Rindu..

Thursday, March 18, 2010
Pi sana, bahagia sungguh sampai boleh timbul rasa tak mau balik Malaysia langsung dah, tapi...

PS: 'Jet lag' tak hilang lagi ni, nanti la bila dia dah hilang, rasanya baru saya boleh berblog seperti biasa kut, erkk..

Ok dah, siap-siap pergi keje dulu...bai..

Lambaian Tanah Suci...

Friday, March 05, 2010
"HambaMu datang menyambut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyambut panggilanMu. Engkau yang tidak ada sekutu bagiMu, sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, Ya Allah tidak ada sekutu bagiMu"

Inilah sebenarnya yang saya duk tunggu berbulan dan berminggu yang lalu. Tunggu dengan penuh debaran dan keterujaan. Tunggu dengan penuh ketidaksabaran dan kegembiraan. Tunggu dengan penuh harapan dan keinsafan, moga dipermudahkan segala urusan dan diterima segala amalan.

InsyaAllah, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya dan kedua orang tua akan berangkat ke Mekah besok bagi menunaikan ibadat umrah. Lebih kurang seminggu di Mekah,kami akan bertolak ke Madinah. Pastinya agenda yang saya ternanti-nanti ketika di Madinah adalah menziarahi Makam Baginda Rasulullah saw, InsyaAllah... Semoga Allah memudahkan perjalanan saya ke rumahNya dan juga ke Makam Baginda Rasulullah saw nanti.

Memandangkan saya akan pergi jauh buat beberapa ketika, saya ingin memohon maaf kepada semua tak kira siapa andai ada salah dan silap, tersalah kata atau ucap. Mohon dimaafkan. Doa-doakan saya dan keluarga... InsyaAllah panjang umur kita 'jumpa' lagi. Kalau tak 'jumpa'.....jangan lupa doakan saya di 'sana',ya!

Nak pergi jauh baru nak mohon maaf, kalau tak pergi jauh takde pun nak pohon maaf kan? aduhaiii.... Owhh cuti tahunan saya sudah habis! Ada sapa-sapa yang sudi sedekahkan cuti tahunan dia tuk saya dak?erkk..

Nota Kaki: Memandangkan ketidakwujudan saya di alam maya untuk tempoh tersebut, maka blog saya ni pun akan turut bercuti dari sebarang entry baru, ye la, takkan tuan bercuti blog tak bercuti kan? hehe. Jangan rindu-rinduan ya! pergi dulu...^_^

Bila Sungai Dan Laut Bertemu...

Wednesday, March 03, 2010
Hidup mengikut arus 'sungai'...
Baik-baik saja...
Tak sangka...
Arus 'sungai' bawa ke 'lautan' yang luas...

Ke mana pula arus 'laut' akan bawa?
Dia Yang Maha Tahu...
Terima kasih Tuhan...
Atas segalanya...

Dia Terus Ke Syurga. Kita?

Monday, March 01, 2010
Lagi budak mati di tangan kekasih ibu!! Sambil baca kisah arwah adik Syafia 2 hari lepas, sambil tu tangan saya rancak mengurut dada. Sebak, geram, sedih, rasa macam nak tikam bunuh 'syaitan' tu pun ada. Hati saya tak faham, jiwa saya celaru, minda saya berkira-kira,kenapa ada manusia yang sanggup memperlakukan insan sekecil adik Syafia sedemikian rupa? Syaitan menyerupai manusiakah dia? Atau dia memang syaitan!!

Yang saya pasti, adik Syafia sudah bahagia 'di sana'. Syurga tempatmu dik. InsyaAllah..

Setiap yang berlaku pasti berhikmah. Pasti, kejadian yang meragut nyawa adik Syafia ini pun berhikmah. Barulah satu Malaysia tahu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita sangat meruncing. Ibu Syafia dikatakan bersekududukan dengan 'syaitan' tu hampir 4 tahun! MasyaAllah. 4 tahun!!!

Bila dengar pasal tu, rasa kasihan saya kepada ibu Syafia pada awalnya terus hilang. Hati saya turut sama membenci ibunya sebagaimana saya membenci 'syaitan' yang membelasah adik Syafia tu.Saya rasa mungkin semua sudah tahu kisah sedih dan mengejutkan ini. Tak perlu lagi saya melebarpanjangkan kisah.

Cuma sekarang... saya duk tertanya-tanya, apa lagikah kebenaran atau kisah kepincangan masyarakat yang bakal tersembur di depan mata kita semua selepas ni? Selepas kisah adik Syafia ni.... Ya,sama-sama kita tunggu dan lihat . Bukan saya mendoakan agar musibah seperti ini berterusan berlaku, tapi ini adalah hakikat yang masyarakat kita harus terima. Selagi Islam dan undang-undang Islam itu tidak terpasak kukuh di bumi ni, sampai bila-bila ummat Islam akan berterusan 'nazak' begini. WaAllahualam.

PS: Kisah beberapa hari sudah, tapi baru hari ni saya ada semangat untuk menulis.

 

Browse