Assalamualaikum.
Maaf kerana lama tidak berkhabar cerita, lama juga tidak menyapa sesiapa. Bukan niat untuk memendam segalanya,cuma masa tidak mengizin untuk mencoret rasa.
Berita lewat petang, di hujung minggu itu amat menyedih rasa. Ibu Mardhiah telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya pada hari yang sama. Allah..... betapa berat untuk Mardhiah jua saya menerima berita ini.... Innalillahii Wainna Ilaihi Roojiunn...
Selepas mendapat kebenaran dari bos besar untuk cuti panjang mengejut, saya mengikut mardhiah pulang ke kampung halamannya di Dungun, Terengganu pada malam tu juga. Tambah-tambah Mardhiah perlukan saya di sisi pada detik itu. Lagipun, manakan mungkin saya tidak melawat jenazah ibu Mardhiah yang saya sudah kenal rapat semasa arwah masih hidup.
Bagi saya, inilah perjalanan paling panjang pernah saya tempuh untuk ke Terengganu. Ini jualah malam yang paling panjang pernah saya lalu. Malam yang diiringi air mata, air mata hati, jua air mata dari langit. Hujan mengiringi kami sepanjang perjalanan dari Putrajaya hinggalah ke Dungun. Alhamdulillah, Kami tiba di Dungun lebih kurang pukul 2 pagi.
Sampai di rumah Mardhiah, sudah ramai sanak saudara Mardhiah yang tiba. Adik beradik beliau pula sedang membaca Al-Quran di sisi jenazah ibu tersayang. Bila penutup muka jenazah ibu beliau di buka.... Allah.... saya seolah melihat ibu Mardhiah sedang tersenyum. Tenang sungguh raut wajahnya. Saya kata kat Mardhiah, "InsyaAllah...ahli syurga dah mak mu Mardhiah..ahli Syurga."
Saya tahu Mardhiah tabah, saya pun tidak tahu lah macam mana saya kalau di tempat Mardhiah. Mungkin saya tidak setabah itu. Saya doakan moga Allah tempatkan roh ibu Mardhiah di tempat yang terbaik di sisiNya beserta hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Ameen.
Bila menghadapi keadaan sedih macam ni, barulah saya sedar, saya bukanlah seorang sahabat penenang yang baik. Tiap kali Mardhiah menangis, saya turut sama menangis. Sepatutnya saya menenangkan beliau, mengucap kata kuat dan tabah. Bukannya menangis bersama. Bukannya menambahkan lagi kesedihan beliau. Saya harap jika beliau baca ni satu hari nanti, beliau maafkan saya atas kelemahan saya ni.
Wasalam.